Thursday, April 1, 2010

KARACHI-MEDINA-MAKKAH




10 march 2010 hingga 24 march 2010 adalah hari hari yang dilalui dengan penuh manis madu,khasiat zafron,penawar habatus sauda dan cantik mukaramah dan munawarah.Alhamdulillah saya bersama nenda tersayang,ayah,abang,adik dan ibu tercinta yang baru 3 minggu menjalani pembedahan 'appendicks' selamat berlepas dari KLIA untuk menjadi tetamu Allah .Transit flight kami ke Karachi sememangnya sesuatu yang menyedarkan betapa syukurnya saya dilahirkan di bumi Malaysia yang penuh keberkatan dan kerahmatan Allah curahkan. Walaupun ziarah ke makam 'Father of Pakistan' Ali Jinnah yang disajikan dengan penuh adat tradisi tinggalan British,namun rayuan dan tangisan anak-anak kecil (yang diberi pangkat pengemis) di tepi atau di tengah jalan masih jelas di fikiran saya hingga hari ini.Mereka akan mengerumuni bas kami dan mengetuk cermin bas di setiap perhentian bas itu.Tapi yang begitu menghairankan saya ialah rakyatnya sanggup berbelanja untuk menghias bas-bas awam di situ dengan bunga,riben dan warna-warni seolah-olah hendak menyertai pesta 'flora dan fauna'. Di manakah silapnya?Berbalik kepada cerita tinggalan British tadi ialah kisah ketika penukaran shif pengawal di sekeliling makam itu yang begitu mengerunkan dan menggegarkan.Hentakan kaki pengawal yang berkawad begitu tinggi dan kuat sekali hingga saya terfikirkan keadaan dan nasib 'bapa saudara' yang terbaring di situ.Perlukah adat seperti ini dilunaskan setiap kali penukaran pengawal?Siapa yang terseksa dan diseksa?Malam itu kami berlepas ke bumi Jeddah dengan iringan zanji dan nasyid bahasa urdu persembahan semulajadi dari jemaah Pakistan.Mereka ini sememangnya bersemangat kuat melaungkan suara, antaranya yang saya faham 'Ya Allah,Ya Rasullullah, aku datang menjadi tetamu mu, terimalah amalanku,ampunkan dosaku.........hinggalah kami mendarat di bumi Jeddah dan terus Labbaik Allah........ Sembahyang Jumaat adalah solat pertama didirikan di Masjid Nabawi.Payung gergasi mengelilingi masjid untuk memayungi umatnya dari panas matahari. Memang benar doa Rasullullah SAW kepada Allah SWT agar penduduk Madinah sentiasa berhati mulia,tanahnya dilimpahi keberkatan dan aman selalu.Selepas solat Jumaat,kami makan besar di rumah Uncle Syed Ibrahim (sepupu ayah) yang menetap di Madinah selama 20 tahun.Betapa bertuahnya Rias dan Nora (anak2 uncle) dapat mengaji di masjid Nabi tiap hari.Ibu dan nenek tidak ketinggalan menziarahi Raudhah mengikut waktu yang ditetapkan untuk muslimah.Salam dan doa kami serta kaum keluarga disampaikan kepada Rasullullah SAW dan sahabat sahabat.3 hari di Munawarah memang tidak cukup namun kami terus ke Bir Ali berniat ihram untuk persembahan kemuncak untuk Allah SWT di Mukarramah.
Adik adalah insan yang paling popular sepanjang perjalanan ibadah umrah kami. Walau sesiapa pun yang melihatnya akan pasti tersenyum,mencuit pipinya,memeluknya dan memberi buah tangan.Adik memang cute macam abangnya.Dia tidak akan sesekali pun membiarkan ibu mengangkat atau menarik lunggage kerana takut sakit.Yang pasti nenek tersenyum bangga melihat gelagat cucunya.Nenek pun hebat orangnya.Beg hand lunggage nenek umpama farmasi,mini market dan pembekal air bergerak utk kami adik beradik.Ayah adalah pengurus kami yang cekap(mungkin sebab dah 6 kali jejakkan kaki ke bumi Makkah/Madina)Ayah akan pastikan beg,air zam-zam,pasport,boarding pas dan sebagainya diuruskan dengan betul dan teratur.Bagi saya dan abang pula,kami mula mengimbas kembali keseluruhan panorama Makkah dan Madinah dari umrah pertama 2002 hingga kini.Masih jelas ibu mengangkat saya untuk memegang kain kiswah Kaabah sewaktu usia 4 tahun.Labaik kali ini saya mengucup Hajarul Aswad dan sembahyang 5 waktu di hadapan kaabah,terasa dekatnya diri dengan Yang Maha Esa.Dengan berniat di Tanah Halal kemudian memasuki Tanah Haram adalah begitu simbolik.Muslimin dan muslimat seluruh dunia datang bertawaf mengelilingi Kaabah memohon keampunan dan keredhaan dari Allah SWT.Ianya umpama putaran kain yang dibasuh dengan "sabun" doa tawaf di dalam "mesin basuh" Allah.Di sinilah manusia dari golongan raja,artis,jutawan dan pengemis bertawaf tanpa mengira darjat dan taraf.Saya terbayang arwah kedua moyang yang ke Mekah dengan kapal laut pada tahun 1950.Terasa bangganya dapat menyusul jejak tawaf mereka.Minum air zam zam adalah masa yang dinantikan kerana kelazatan dan rasa yang terbaik di dunia.Tangisan dan tendangan kaki Nabi Ismail telah menghasilkan zam zam "ocean" untuk kita semua hingga hari kiamat nanti.SubahanAllah.Safa dan Marwah pula menyaksikan bagaimana naluri ibu ingin menyusukan anak yang kelaparan, berlari lari mencari air.Perjalanan saie pula umpama bilasan kain dalam sungai yang bersih dan suci dengan "bahan pelembut" Istighfar, Selawat Nabi, Zikir, Tasbih, al Fatihah, ayat Kursi dan doa untuk UPSR 5A.Kami selesai umrah sulung tepat pukul 2.30 pagi dan mencukur botak tanda kesyukuran.Suatu kepuasan dan ketenangan yang tiada gantinya.Hari ke 9 di bumi Mekah memaksa kami bertawaf wida. Kata ibu,"Sesuatu yang amat berat hati untuk dilaksanakan setiap kali ibadah umrah".Kaabah ditinggalkan tapi bukan untuk kali terakhir.Murahkan rezeki dan sihatkan tubuh kami untuk menjadi tetamu Allah lagi.Penerbangan pulang ke tanah air melalui Jeddah-Karachi-KLIA selama 11.5 jam amat pilu dan meletihkan. Hari ini,buku panorama Mekah dan Madina yang saya beli menjadi tatapan kami untuk terus menyemai niat di hati.Hampir semua kawan saya di kelas 6D SKKGPDN9 bertanya soalan yang sama,"Seronok tak pegi umrah?". Pastinya jawapan saya "YA" tapi hanya yang telah ke umrah sahaja tahu menyelami 'seronoknya' itu.
MOHAMAD NAIM SAMSUDDEEN
TAMAN NESA PDN9
24.4.2010

No comments:

Post a Comment